Wednesday, August 25, 2010

Aadam's Story bulan ogos 2010


















































































31 08 2010 Selasa
"Oh! dah 28 hari...!? 

Hari ni Abba dan Ammi cuti Merdeka. Sepanjang hari mereka duduk di rumah bersama aku. Bestnya.

Hmmm…. Dah banyak hari tak jumpa Munni Khala. Rasa rindu pula kat dia.


30 08 2010. Isnin












Hari ni aku pergi ke rumah Mak Teh seperti yang dijanjikan.


Hari tu aku tunggu-tunggu Abba pada waktu biasa tapi tak sampai-sampai pun. Ke mana Abba dan Ammi pergi? Rupa-rupanya mereka pergi ke Sogo. Ammi kata biar pergi settle hari ni jadi esok boleh duduk bersama aku sepanjang hari.

29 08 2010. Ahad
Pakcik Jai dan Makcik Fiza datang buka puasa.
Tidur... tidur... tidur... Ammi..lapar...! Dengan pantas Ammi sumbat susu.

Hari ni selepas solat Subuh, Abba dan Ammi tidur semula. Penatlah tu selepas sehari suntuk berjalan semalam. Ammi tak jadi pergi Sogo hari ni. Ammi nak pergi hari Selasa nanti pasal ada cuti merdeka. Sementara baju Abba pula nanti Abba beli sendiri dari Jaya Jusco waktu rehat kerja.

Abba bangun agak lewat hari ni. Ammi pun tak kejutkan Abba sebab kesian tengok Abba letih sangat.
Pakcik Jai dan Makcik Fiza sedang sebok membelek
blog aku manakala Mak Teh 
sebok menukar lampin aku diperhatikan oleh Ammi.

Hari ni Makcik Fiza (kawan pakcik Jai) nak datang berbuka puasa di sini bersama dengan Pakcik Jai. Pak Teh dan Mak Teh pun datang sekali.
Aku rimas dibedung, tapi kalau dah
mengantuk, biarkan je lah.
Makcik Fiza belikan aku hadiah baju warna orange. LUCKILY IT’S NOT BLUE OR WHITE. Cantik jugak. Sesuailah dengan aku yang putih ni… He! He! Ammi cakap dagu aku macam dagu Makcik Fiza, macam bulan sabit. Cutenyaaa…

Abba Tanya Mak Teh boleh tolong jaga aku tak esok sebab Munni Khala nak ke hospital ambil ubat Nana. Mak Teh cakap ok.

28 08 2010. Sabtu
Ammi dan Abba shopping hari raya dekat Masjid India

Hari ini satu hari yang sibuk untuk Ammi dan Abba. Ammi dah ada banyak rancangan untuk persiapan Hari Raya dan Abba seperti biasa, menjadi driver Ammi.
Upacara menguap sudah mencecah 13 ratus juta kali semenjak aku lahir...

Ammi nak pergi ke Masjid India beli tudung Ammi, baju raya untuk Tok dan Tok Wan, dan baju Melayu untukku. Ada sampin untuk Aadam tak Ammi? Lepas tu Ammi nak pergi Sogo beli handbag warna putih. Lagi Ammi nak pergi Jaya Jusco cari baju untuk Abba. Selepas tu Ammi nak pergi ke Anakku beli baju raya untuk aku. Banyaknya Ammi nak shopping.

Pagi-pagi lagi aku sudah dihantar ke rumah Munni Khala. Ammi hanya sempat pergi ke Masjid India dan Anakku. Yang menyebabkan kelewatan ialah Ammi tak jumpa tudung warna yang Ammi nak. Lepas dah beli tudung, tak jumpa pula baju yang sesuai untuk Tok.

Dah penat meredah lautan manusia di bazaar sekitar Masjid India, Ammi dengan Abba pergi ke Semua House pula. Barulah jumpa baju Tok. Lepas tu Abba patah balik ke bazaar Masjid India untuk beli baju Melayu Tok Wan.

Selepas siap Ammi nak ke Sogo tapi jalan ke Sogo ditutup. Abba suruh Ammi pergi esok saja. Kemudian ke Anakku pula. Yeh! Yeh! Aadam dapat baju baru. Abba nanti belikan baju yang colourful sikit ok. Boringlah asyik-asyik pakai biru dengan putih.

Aadam dapat baju red, yellow dan …….. BLUE LAGI! Tak apalah. Selepas tu ada socks baru, mittens baru dan warmer botol susu. Warmer yang hari tu Abba beli tak tahan panas. Abba ternampak pula bouncer dan nak beli untuk aku. Asalnya Ammi tak nak beli sebab tak nak biasakan aku dengan benda-benda macam tu. Kata Ammi nanti susah nak tidur kalau pergi mana-mana tetapi Abba cakap bouncer tu boleh dibawa bersama. Lagi pun bouncer yang abba berkenan tu 2 in 1, bouncer dan car seat. Abba kata kesian aku, dahlah tak ada buaian, bouncer pun tak ada. Akhirnya Ammi setuju.

Dari Anakku Ammi dan Abba balik rumah dulu untuk solat dan kemudian menjemput aku, Munni Khala, Khalid Khalu dan anak-anak mereka (termasuk Noor Bhaiya yang dapat cuti sampai Selasa depan sempena Merdeka) untuk ke rumah Zarina Khala.

Kemudian ke rumah Mak Teh pula untuk tinggalkan aku di sana. Kesemua mereka terus ke rumah Zarina Khala. Balik dari sana, Abba hantar Munni Khala dulu kemudian datang menjemput aku. Sampai di rumah dah lewat malam. Mesti Abba dan Ammi penat. Seharian Aadam tak jumpa Abba dan Ammi, jumpa sekejap-sekejap saja.

Abba masukkan aku ke dalam bouncer. Best juga. Terus mata aku nak terlelap. ZZZZZZZ

Terima kasih Abba. Terima kasih Ammi.

23 08 2010. Isnin - 27 08 2010. Isnin – Jumaat
Mimpi indah dating bersama Angelina Jolie...


Dengan puting atau tanpa puting dipandang sudut manapun aku tetap nampak macho...heh heh heh!
Ammi lupa basuh baju Aadam lah hari ni...

Satu minggu yang agak membosankan. Tak ada yang menarik sepanjang minggu ini.
Baru lepas mandi. Kena lumur minyak telon untuk elak kembung.

Cuma pada hari Jumaat tu jalan sesak sangat-sangat semasa Abba nak menjemput Ammi. Mungkin sebab Selangor cuti Nuzul al-Quran hari ni dan semua orang Selangor datang shopping ke KL kot. Hari ni Nana Baji tak ikut Abba balik jadi bakulku diletakkan di tempat duduk hadapan di mana Ammi selalu duduk. Aku tidur sepanjang perjalanan ke pejabat Ammi. Abba tersangkut traffic jam selama 2 ½ jam. Masa tu Abba sempat bagi aku minum susu yang dibekalkan Munni Khala semasa Abba menjemput aku tadi.

Abba sampai di pejabat Ammi pun agak lewat. Masa nilah aku terjaga dan mula menangis. Mujur Ammi dah turun jadi Ammi pun dukung aku sepanjang perjalanan balik ke rumah. Aku dah lapar sangat tetapi tak ada susu extra. Lampin aku pun dah basah tapi tak ada lampin extra. Yelah, manalah Abba dan Ammi nak tahu jalan sesak macam ni.

Ammi cuba pujuk aku dengan puting. Mula-mula aku senyap sekejap tapi kemudian aku menjerit semula. Dah tak ada pilihan. Abba isi botol susuku dengan mineral water. Biasanya aku tak mahu minum air masak, nak susu aje. Tapi hari tu pasal lapar sangat, aku belasah aje mineral water tu. Sesampai di rumah terus aku diberi susu tapi aku dah kenyang minum air tadi. Lampin aku ditukar dan aku terus tidur.

Sepanjang minggu ini, Ammi cuba cari bermacam-macam idea nak elak dari pergi berbuka puasa di rumah Zarina Khala semata-mata sebab nak merahsiakan tentang aku. Akhirnya Ammi berbincang dengan Abba dan mereka bersetuju menghantar aku ke rumah Mak Teh semasa mereka pergi berbuka puasa.

22 08 2010. Ahad
Irfan datang rumah 
Subuh ni aku tak bangun sahur. Mungkin aku letih kot semalam pergi banyak tempat dan jumpa banyak orang. Abba dan Ammi bersahur beramai-ramai. Seronoknya mereka.

Pak Andak pagi-pagi dah pergi ke hospital. Tengahari tu pula Pak Ngah balik ke rumahnya di Subang Bistari.

Lebih kurang pukul 12.00 tengahari, Abba bawa Tok dan Mak Teh pergi ke hospital menjemput Mak Andak. Aku tak ikut, duduk rumah tolong jaga Ammi. Ke Ammi yang jaga aku? He! He! Kasi canlah aku nak perasan seolah-olah aku dah dewasa. Tak apalah Ammi, sekarang Ammi dan abba jaga Aadam. Nanti bila Aadam dah besar, Aadam pula jaga Ammi dan Abba ok.

Sekembalinya Abba, semua orang excited sangat kerumun Irfan. Selepas itu Tok mandikan Irfan. Mak Andak tak bawa barang Irfan jadi Irfan pinjam aku punya. Aku tak kisah. Abba pun ada bisik-bisik kat aku, “Aadam tak kedekut kan. Bagi pinjam Aadam punya ok. Aadam dah besar”. Dah besar???

Memang itu sikap Abba, tak pernah kedekut dengan barang-barangnya dan suka tolong orang setakat yang termampu. Sikap ini jugalah mahu ditanamkan ke dalam diriku oleh Abba.
Irfan melalak meminta untuk dibelikan juga
sarang macam Aadam punya ni.
Pak Andak sedang cuba mencari posisi tepat untuk
mendukung Irfan

Khabarnya semasa Abba dan Ammi baru-baru kahwin, Ammi mahukan anak tetapi Abba tak mahu lagi sebab nak tolong Tok Wan sara adik-adik Abba yang masih ramai yang bersekolah. Ammi, seperti yang aku dah cakap mula-mula tadi, seorang yang taat pada suami, lantaran itu Ammi akur. Semasa Abba dan Ammi dah senang sedikit dan bercadang mahu memiliki keluarga sendiri, kesihatan Ammi tak mengizinkan pula. Abba sememangnya sukakan kanak-kanak tetapi Abba faham keadaan Ammi dan demi kerana cintanya pada Ammi, Abba terima ketentuan taqdir itu dengan redha. Ammi juga redha. Ammi pernah menyuruh Abba kahwin lain tetapi Abba tak mahu.

Betapa besarnya kasih sayang Ammi kepada Abba… sanggup berkorban demi kerana adik-adik Abba dan betapa besarnya kasih sayang Abba kepada Ammi… sanggup berkorban demi kerana Ammi. Alangkah bertuahnya aku menjadi anak angkat insan-insan yang hati mereka dipenuhi rasa kasih dan sayang. Insya Allah kasih sayang ini juga akan dilimpahkan kepada aku dan aku juga akan membalasnya dengan kasih sayang. 

Tok, Tok Wan, Abang Izz dan Makcik Zaira balik dulu disusuli oleh Pak Andak, Mak Andak, Pak Teh, Mak Teh dan Pak Su. Pakcik Jai pun balik juga. Tinggallah Abba dan Auntuk buka puasa berdua sahaja.

21 08 2010. Sabtu
Tok Wan dan adik beradik Abba datang rumah

Satu hari yang penuh dengan bermacam-macam peristiwa.
Di atas perrmintaan ramai awek-awek, jadi aku siarkan gambar eksklusif aku ini.
Aadam tidak bertanggungjawab jika terjadi sebarang kemalangan atau sebagainya akibat
dari gambar ini. Terima Kasih. 

Pak Andak sms Abba waktu sahur memberitahu Mak Andak dah bersalin baby boy. Yahoo! Aku dah ada geng. Apa agaknya nama si kecil tu? Semasa Piala Dunia baru-baru ni, Pak Andak kata nak namakannya Messi sempena nama pemain bola terkenal . Entah serius, entah bergurau.

Selepas solat subuh Abba dan Ammi sambung tidur. Ngantuklah tu sebab bangun beberapa kali malam tadi layan kerenah aku.

Pagi tu Tok telefon Abba. Selepas bersembang, Abba terus cakap dekat Ammi, “Tak boleh sorok Aadam dah. Mak dengan Abah nak mai lawat Leha”. Hmmm! Aku akan bertemu dengan watak-watak baru dalam hidup aku. Excitedlah.

Mak Teh Nurul pula telefon Abba. Dia dan Pak Teh Shah nak ikut Abba pergi ke hospital. Abba suruh jumpa di Mid Valley.

Abba bawa Ammi jumpa doktor sebab Ammi tak sihat. Alang-alang dah bawa Ammi, Abba minta doktor ubat mata untuk aku sebab mata kanan aku selalu keluar tahi mata banyak-banyak.

Seperti perancangan awal, aku ditinggalkan di rumah Munni Khala sementara Abba dan Ammi pergi shopping untuk aku. Sepatutnya bawalah aku, boleh aku pilih-pilih barang yang aku nak.

Selepas shopping, Abba dan Ammi berserta Mak Teh dan Pak Teh datang menjemput aku. Abba dan Ammi masih nak cover line. Mereka bagi tahu Mak Teh yang aku ni anak Mak Andak. Doktor dah benarkan aku balik jadi Abba dan Ammi ambil aku dulu sementara “mak aku” (Mak Andak lah tu) masih ditahan di hospital. Mak Teh dan Pak Teh percaya. Masih belum bocor rahsia. Mereka tangkap gambar aku banyak-banyak sebab ingatkan aku anak Mak Andak. Mak Teh kata muka aku macam muka Pak Andak. He! He! He! Terlebih sudahhhh
Irfan Naufal Bin Sakri
 berumur dua hari.

Aku tengok kereta penuh dengan macam-macam barang untuk aku. Bestnya.

Sesampai di hospital, Mak Teh Tanya nak bawa dia naik ke? Pak Teh pula kata, “Mestilah. Mak dia mesti nak jumpa dia”. Ammi senyum je.

Kami naik ke atas. Terkejut Mak Teh tengok ada seorang lagi baby kat atas. Kelam kabut semua orang, tertanya-tanya aku ni siapa. Akhirnya barulah Abba menceritakan siapa aku. Mak Teh masih tak percaya.

Tok, Pak Teh dan Ammi sedang menunggu berbuka puasa.
Handsome jugak sepupu aku ni. Namanya Irfan Naufal. Besar nanti boleh kami buat kumpulan “The Cutie Pies”. Tak sedaplah nama tu. Macam nama girls je. “The Jambus”? Tak best jugak. “Jejaka Kacak”? “The Handsome Ones”? “The Cuns”? Emph! Semua tak best. Nantilah aku bincang dengan Irfan.

Pak Andak yang pergi surau pun balik. Dia tak perasan aku. Pak Andak ingatkan Ammi dukung anak dia.  Semasa kami nak balik, dia terkejut kenapa Ammi bawa “anaknya” sekali. Lepas tu baru perasan yang Irfan tengah menyusu. Teringat aku kepada Ibu. Aku dah tak merasa saat-saat sebegini.
Pak Ngah sedang sebok makan. Aku pun lapar jugak ni.

Abba dan Ammi berpakat pula dengan Mak Teh dan Pak Teh nak guna taktik yang sama dengan Tok.

Tok, Tok Wan, Makcik Zaira dan Pak Su Hafiz semua percaya yang aku ni anak Mak Andak. Tok Wan cakap muka aku macam Mak Andak. Terlebih sudahhhh

Abang Izz anak Mak Teh.
Akhirnya rahsia aku dibocorkan. Berdegup kencang jantungku menunggu reaksi semua orang. Alhandulillah, aku diterima dengan gembira. Aku lihat wajah Abba dan Ammi juga ceria kerana Tok dapat menerima aku.

Hari ni aku dimandikan oleh Tok dan Mak Teh. Pakcik Jai pula sampai. Dia juga dihidangkan cerita yang sama. Dia tertanya-tanya kenapa baru lahir dah buka mata?

Eh! Terlupa nak sebut. Anak Mak Teh, Abang Izz yang berumur 18 bulan pun ada. Dia tinggal dengan Tok di Pahang. Abang Izz tak banyak cakap dan asyik berkepit dengan Tok dan Tok Wan. Kata Tok dia tengah sakit. Kalau tak sakit memang tak duduk diam. Oh! Begitu. Mungkin kami (aku dan Irfan) boleh ajak Abang Izz join kami nanti dalam geng budak-budak cute. Hey! Sedap nama tu…”Bebudak Cute”. Okeylah tu.

Malam ni Pak Ngah Fouzi dan anak-anaknya, Fiqah, Qilah dan nia datang berbuka puasa di rumah kami. Wah! Meriah betul buka puasa hari ini. Aku bagi can kat Abba dan Ammi berbuka puasa beramai-ramai dan aku tak bangun waktu buka puasa hari ni.

Hari ni aku diperkenalkan dengan adik-adik Abba, Mak Andak Leha, Mak Teh Nurul, Makcik Zaira, Pakcik Jai, Pak Su Hafiz dan Pak Ngah Fouzi. Juga dengan adik-adik ipar Abba, Pak Andak Shakri dan Pak Teh Shah. Ada lagi adik-adik Abba yang aku belum jumpa.

20 08 2010 Jumaat

Pak Andak Shakri (adik ipar Abba) memberitahu bahawa Mak Andak Leha dah masuk hospital, nak bersalin. Aku akan mendapat sepupu baru. Ammi dan Abba berpakat macam mana nak menyembunyikan aku. Akhirnya mereka membuat keputusan hanya Abba akan ke hospital melawat Mak Andak. Ammi duduk rumah jaga aku.
Terasa semakin comel aku ni. Perasan bertempat tak pa.
Ramos tinggi menjulang tu tunggu masa je nak dikorbankan.

Esok Abba dan Ammi nak pergi ke Baby Expo di Mid Valley. Aku akan ditinggalkan dengan Munni Khala. 

16 08 2010. Isnin - 19 08 2010. Khamis

Tiada yang menarik sepanjang minggu ini. Aku hanya menjalani rutin harian seperti biasa… bangun sahur (???), pergi rumah Munni Khala, tunggu Ammi call Munni Khala 2 atau 3 kali setiap hari bertanyakan khabar aku, Abba jemput aku dan Nana Baji, jemput Ammi, aku bangun untuk buka puasa (He! He!), bangun tidur 2 kali setiap malam dan bangun sahur semula.
Celak mata yang dipakaikan oleh Khala itu tidak langsung mengganggu gugat jantinaku. Sungguh!

Boringnya. Kenapa Abba dan Ammi tak bawa aku berjalan-jalan? Mungkin sebab aku masih kecil lagi dan masih dalam pantang.
Ammi takut sangat aku sejuk, jadi dia pakaikan aku fesyen eskimo ni...

Minggu ini aku diperkenalkan dengan beberapa watak yang baru yang bakal hadir dalam hidup aku … Nani (maksudnya nenek dalam bahasa Hindustan, adalah ibu saudara Ammi), Nana (bermaksud datuk, adalah bapa saudara ammi). Kedua-dua mereka tinggal di Sg. Petani dan minggu ini datang ke Putra Jaya rumah sepupu Ammi, Zarina Khala. Nani dan nana akan duduk di situ selama 2 minggu untuk menjaga anak-anak Zarina Khala, Farah Baji, Nabil Bhaiya dan Alfi Baji semasa Zarina Khala dan suaminya, Tabbu Khalu, mengerjakan unrah.
Ada rupa macam nak main sky tak?
Tertidur dalam belaian...

Ammi agak rapat dengan Nani sejak ibu Ammi meninggal dunia semasa Ammi masih berumur 17 tahun. Setiap tahun raya Ammi akan balik ke rumah Nani.

Nani dah ajak Abba dan Ammi untuk berbuka puasa di rumah Zarina Khala tetapi Ammi agak keberatan sebab di mana nak sorok aku? Munni Khala juga akan pergi berbuka puasa di rumah Zarina Khala.


15 08 2010. Ahad
Keseksianku makin terserlah dengan spender cap ayamku, dan kemachoanku
tidak tergugat oleh nyot-nyot itu.


Hari baru. Siapa lagi agaknya aku akan jumpa hari ini dan hari-hari berikutnya? Khabarnya keluarga sebelah Abba dan Ammi (kecuali Munni Khala) belum tahu tentang aku. Saja Abba dan Ammi nak bagi surprise semasa balik berhari raya nanti. Aku sama seperti Abba dan Ammi tertanya-tanya bagaimana agaknya penerimaan mereka terhadap diriku? Adakah mereka boleh menerima dan menyayangi aku seperti Abba, Ammi, Munni Khala dan anak-anaknya?

14 08 2010. Sabtu
Pergi Klinik Wardah

Hari ni pagi-pagi dah pergi klinik nak ambil darah. Sesampai di klinik, orang dah ramai jadi kami tunggulah giliran kami. Agak lama juga.
Sudah 11 hari rupanya umur aku. Lama lagi ke nak capai umur 11 tahun?

Semasa sedang tunggu giliran, ada seorang Aunty menegur Ammi. Dia Tanya Ammi macam-macam pasal aku. Aunty tu ingat aku dah sebulan dan dia terkejut bila Ammi cakap aku baru 11 hari. Yang paling aku marah, adakah Aunty tu cakap aku ni girl??? Ceh! Sehandsome-handsome aku boleh dia cakap aku girl. Ammi agak serba salah nak menjawab bila Aunty tu tanya tentang kelahiran aku. Kesian Ammi. Mujur giliran aku sampai tepat pada masanya dan Ammi dapat escape dari menjawab soalan bertubi-tubi Aunty tu.

Eh! Ammi pun masuk ke bilik doktor kah? Tadi kat rumah cakap tak nak masuk sebab tak sanggup tengok aku kena cucuk. Masuk-masuk bilik doktor, doktor cakap laporan darah tu dah ada dan tak payah ambil darah. Alhamdulillah.

Kami bergegas balik ke rumah sebab ada kawan Ammi nak dating. Uncle Brian buat pest controlling di rumah kami. Dia ingatkan aku anak saudara Ammi tapi bila Ammi cerita macam mana Abba dan Ammi jumpa aku, baru dia percaya. Selepas siap dia menyembur racun di rumah, dia bersembang-sembang dengan Ammi, memberi tips macam mana nak jaga anak. Abba pula terlena di sofa. Kesian Abba, penat agaknya malam-malam bangun jaga aku. Biasanya bila aku bangun waktu malam, Abbalah yang akan menidurkan aku.

Selepas Uncle Brian balik, kami pun keluar rumah sebab Abba dan Ammi risaukan aku alah dengan bau racun yang disembur. Sebenarnya Ammi juga alah dengan bau itu sebab Ammi ada asma. Kami pergi ke rumah munni Khala, berjumpa dengan Noor Bhaiya dan berbuka puasa di sana.

Hmmm… Ini rupanya Noor Bhaiya yang perasan dirinya Shahrukh Khan. Rupanya ala-ala Shahid Kapoor, pelakon remaja filem Hindustan. Khairul Bhaiya pula ala-ala Anil kapoor (juga pelakon filem Hindustan). Macam mana aku kenal mereka? Mestilah kenal. Ammi kan die hard fan filem-filem Hindustan. Tetapi sejak ada aku, Ammi jarang tengok tv. Abba pun dah tak tengok perlawanan-perlawanan MU di EPL sebab katanya tak sempat. Lagipun Abba cakap permainan MU sekarang dah merosot dan Abba kecewa dengan Ferguson. Tak apalah Abba, nanti bila besar, Aadam akan mewakili MU. Ammi pun selalu cakap dengan Abba, bila Aadam besar, bagi dia jadi ahli sukan. Ammi memang minat sukan, lebih-lebih lagi badminton. Aku sendiri tak tau lagi. Tunggulah aku besar, barulah aku tentukan apa yang aku suka.

13 08 2010. Jumaat
Seperti semalam, aku bangun bersahur.













Semasa Abba menjemput aku dan Nana Baji, Sinara Khala membekalkan capati, kari ikan dan kuih vadei untuk buka puasa.

Jalan terlalu sesak hari ini. Sewaktu kami sampai ke pejabat Ammi, dah waktu berbuka. Mujur ada bekal vadei..

Aku berdebar-debar menanti hari esok…. Nak kena ambil darah. Sakit ke?

Ammi lumur bedak pada aku dah jadi macam MJ pulak. Bucuk sangat ke aku ni?













12 08 2010. Khamis
Ammi yang gabra
Semua orang bangun untuk bersahur. Aku? Aku pun nak sahur juga, jadi aku pun bangunlah. Ammi jaga aku semasa Abba dan nana Baji makan. Ammi tanya aku, “Aadam nak puasa jugak kah?” Mestilah nak Ammi tapi nantilah dulu bagi Aadam besar. Sekarang Aadam puasa makan aje dulu, nanti dah besar barulah Aadam puasa makan minum. Sekarang kan Aadam tak makan apa-apa sepanjang hari. Aadam minum susu saja.
Rambut dawai aku itu adalah senjata berbahaya untuk segala raksaksa durjana

yang cuba mengganggu ketenteraman muka bumi ini.
















Aku jalani rutin harian aku seperti biasa. Pagi-pagi sudah dihantar ke rumah Munni Khala. Petang Abba datang jemput aku dan Nana Baji dan kemudian menjemput Ammi.
Wajah aku masa cool...
Wajah aku masa nak jadi incredible hulk


Ammi cakap jururawat dari Klinik Wardah suruh bawa aku ke klinik untuk ambil darah sebab darah yang diambil semasa aku lahir tidak mencukupi untuk ujian darah yang doktor nak buat.

Aku tidur sepanjang jalan balik ke rumah. Kami sampai di rumah hampir-hampir waktu berbuka dan aku pun bangun. Ammi jaga aku sementar Abba dan nana Baji makan. Ammi kata aku pun nak buka puasa. Mestilah Ammi, kan Aadam bangun bersahur tadi jadi mestilah kena buka puasa. Kalau lewat-lewatkan buka puasa nanti makruh.

Malam ini Abba pergi ke surau bertentangan dengan rumah kami untuk mengerjakan solat terawih. Abba memang rajin ke surau. Insya Allah bila besar nanti, aku akan mengikut jejak langkah Abba.

Semasa Abba masih di surau, aku muntah banyak sangat sampai habis baju aku dan baju Ammi terkena muntah aku. Ammi gelabah, terjerit-jerit panggil Nana suruh call Abba sebab badan aku jadi lembik. Ammi ingatkan aku dah pengsan. Ha! Ha! Ha! Sebenarnya aku mengantuk sangat dan terlena dalam dukungan Ammi. Pasal tulah aku terlentuk-lentuk. Ammi, Ammi! Memang macam mak-mak lah Ammi ni. Cepat gabra.

Abba tak menjawab telefon, agaknya sudah dimatikan semasa solat. Bila Ammi dah gelabah dan bising-bising, aku pun terjaga dan mula menangis. Barulah Ammi lega.













11 08 2010. Rabu
Pergi Klinik Wardah

Hari ini 1 Ramadhan 4031. Hari pertama umat Islam berpuasa bagi tahun ini. Aku tak puasa. He! He!

Hari ini juga sudah genap seminggu aku tinggal bersama Abba dan Ammi dan itu bermaksud sudah seminggu aku berpisah dengan ibubapa kandungku. Cepat sungguh masa berlalu. Ibu, bapa, Aadam rindukan Ibu. Aadam rindukan bapa. Tetapi jangan risaukan Aadam. Abba dan Ammi menjaga Aadam dengan baik dan Aadam juga adalah anak yang baik, tak menyusahkan Abba dan Ammi.

Hari ini Ammi tak sihat dan Abba membawa Ammi ke klinik. Alang-alang dah bawa Ammi, Abba minta doktor tengok jaundice aku sama. Kata doktor tak teruk sangat dan dah nak baik dah. Doktor nak tengok laporan ujian darah semasa aku dilahirkan tetapi jururawat tak dapat nak cari. Doktor cakap nanti dia akan telefon lab dan kalau ada apa-apa, dia akan call Ammi.

Abba cakap kat doctor tu aku tak suka minum susu Bebelac yang doktor cadangkan semasa aku lahir. Abba dah tukar ke susu Infalac tetapi aku muntah-muntah bila minum susu tu. Doktor tukar susu aku ke Mamil Gold. Doktor juga bagi aku krim untuk ruam di tengkok aku.

Eh! Lupa nak cerita pula… semasa di klinik, Abba buka baju aku semua dan jemur aku kat tengah panas sebab aku kena jaundice. He! He! He! Rasanya tak pernah dibuat dek orang… menjemur di klinik sementara tunggu doktor sampai.

Hari ni Ammi mc dan ikut aku pergi ke rumah Munni Khala. Petang tu Abba jemput Ammi, Nana Baji dan aku dan kami terus balik ke rumah, tak payah singgah pejabat Ammi. Sinara Khala dan Mashkoora Khala ajak Ammi dan Abba buka puasa di sana tetapi Ammi cakap nanti hari Sabtu sebab nak bawa aku jumpa Noor Bhaiya.

Noor Bhaiya? Siapa tu? Oh! Dia ialah anak ke-2 Munni Khala yang tengah belajar di Politeknik Ipoh. Dia balik Sabtu nanti.



10 08 2010. Selasa

Hari ini harijadi aku yang ke seminggu. Tak ada apa yang menarik hari ini.

Cuma pagi tadi Abba jemur aku kat tengah panas di rumah Munni Khala sebelum pergi kerja. Alih-alih Isha Baji tarik aku ke tempat teduh. Bila Munni Khala datang nak tengok aku, dia terkejut kenapa bakul aku dah beralih tempat. Lepas tu Isha Baji tanya Munni Khala kenapa letak aku kat tengah panas? Nanti aku panas dan jadi gelap!!! Sayang juga dia kat aku yek.













09 08 2010. Isnin 

Ammi dah mula kerja hari ini. Malam tadi aku bangun 2 kali sahaja. Kan aku dah janji.

Aku dihantar ke rumah Munni Khala kerana Abba dan Ammi belum mendapat pembantu rumah untuk menjaga aku. Lagi pun Sinara Khala ada cakap dengan Ammi agar membiarkan Munni Khala menjaga aku semasa aku “dalam pantang” supaya aku dijaga dengan baik. Kalau orang luar yang jaga, mungkin mereka buat separuh hati aje. Abba dan Ammi bersetuju.

Aku terharu keran Abba sanggup hantar aku ke rumah Munni Khala dan berpatah balik ke pejabatnya. Begitu juga pada waktu petang, sanggup menjemput aku dari rumah Munni Khala dan berpatah balik untuk ambil Ammi sebelum balik ke rumah. Ammi juga sanggup bangun lebih awal dari biasa bagi memastikan Abba sempat menghantar aku ke rumah Munni Khala dan masuk kerja pada waktu yang tepat. Munni Khala juga sanggup mengubah cara hidupnya untuk menjaga aku dan nana Baji sanggup berulang alik ke rumah Abba setiap hari untuk membantu menjaga aku semasa Abba menghantar Ammi naik ke pejabat Ammi. Semuanya semata-mata untuk memastikan aku mendapat jagaan yang terbaik.

Kenapa Abba perlu hantar Ammi naik ke pejabat Ammi? Sebab Ammi sakit kaki dan perlu naik kerusi roda dan Abba menolak kerusi roda Ammi ke atas.

Semasa di rumah Munni Khala, Ammi telefon Munni Khala. Sekejap selepas tu, Ammi telefon lagi, dan lagi. Entah berapa kali Ammi telefon entah. Ammi rindukan Aadam ye…

Munni Khala beritahu Ammi aku dah terkena “jaundice” atau demam kuning dan menyuruh Ammi bagi aku minum susu kambing. Munni Khala menjemur aku dalam cahaya matahari supaya aku cepat sembuh.

Malam itu Abba bagi aku minum susu kambing. Sedap juga. Ammi pula cakap aku dah jadi anak angkat kambing sebab minum susu kambing. Apa-apalah Ammi, janji Aadam cepat sembuh.

Abba pula tukar susu Bebelac aku ke susu Infalac sebab susu Bebelac tu tertinggal di rumah Munni Khala. Aku lebih berselera minum susu ni.
























08 08 2010. Ahad 

Baru hari ini aku dapat berehat di rumah setelah 4 hari meronda. Tiada apa yang menarik.

Ammi akan mula bekerja esok. Malam ini aku tak akan bangun kerap sangat supaya Abba dan Ammi dapat bekerja dengan baik tanpa rasa mengantuk.

Ammi packing barang-barang aku untuk dihantar ke rumah Munni Khala esok. Oh! Munni khala yang akan menjaga aku semasa Abba dan Ammi kerja ya. OKlah tu.


















Gambar atas: Ella Baji sedang berusaha mengorat aku. Susah jadi orang hensem ni sebenarnya.
Gambar bawah: Aku yang ditakdirkan hensem....

Aku suka tengok kiri kanan aku. Macam-macam warna ada rupanya di dunia ini.







06 08 2010. Khamis 
Abba lewat hari ni.

Hari ini Ammi cuti lagi tetapi Abba kena pergi kerja, ada shooting TVC. Oh! Rupa-rupanya Abba bekerja sebagai Art Director dan hari ni kena buat rakaman iklan ubat gigi. Hmmm… agaknya ada peluang tak untuk Aadam jadi model, Abba?

Ammi rasa waswas dia boleh jaga aku seorang diri lalu Abba menghantar aku dan Ammi ke rumah kakak Ammi, Munni Khala. Khala maksudnya ibu saudara.

Hari ke 3, Aku buka mata nak tengok Ammi dan Abba aku.
Wah! Ramainya orang di rumah Munni Khala …. Ada Khalid Khalu (bapa saudara) (suami , Munni Khala), Khairul Bhaiya (abang), Nana Baji (kakak), Ella Baji, Isha Baji (anak-anak Munni Khala), Sinara Khala dan Mashkoora Khala (biras Munni Khala), Khan Khalu, Ghani Khalu, Shamim Khalu (abang-abang ipar Munni Khala), Marsha Baji, Siti baji, Sabrina Baji, Aini Baji dan Kamarul Bhaiya (anak-anak saudara Khalid Khalu) dan siapa lagi ye??? Aduh! Ramainya tapi seronok. Meriah.

Kesemua mereka nampaknya gembira kerana Ammi dah ada aku sekarang. Kesemua Baji excited sangat, semua duduk mengerumuni aku … macamlah aku ni gula dan mereka adalah semut. Emmm… Cute sangat ke aku ni ha??? He! He! He! Jangan marah.

Aku terdengar Ammi memberitahu Sinara Khala, “Dia jaga banyak kali malam tadi. Nasib baik tak kerja hari ni. Nanti bila dah start kerja, tak taulah macam mana”.

Ammi jangan risau. Nanti bila Ammi mula kerja, Aadam tak bangun kerap-kerap.

Abba beberapa kali telefon Ammi, bertanyakan aku sampai Ammi cakap “Nak Tanya pasal Aadam saja ke, pasal Az tak nak tanya?” Ammi dengan Abba suka bergurau. Mudah-mudahan hidup aku kelak dipenuhi dengan gelak tawa, Insya Allah.

Abba balik lewat sangat, pukul 3.00 a.m. Ammi ajak Abba tidur di rumah Munni Khala saja sebab tak mahu bawa aku balik malam-malam, takut aku sejuk atau takut ada “gangguan” tapi Abba kata dia ada kerja nak sambung di rumah. Ammi akur cakap Abba. Hmmm.. Ammi ni taat pada suami orangnya. Alhamdulillah.

Aku dibedong erat dan air-cond kereta dimatikan supaya aku tak kesejukan walaupun Ammi dan Abba jenis yang selalu pakai air-cond. Sayang juga kat aku rupanya. Munni Khala beri Ammi kitab Yassin untuk diletak di bawah bantalku supaya tak ada gangguan. Nana Baji dan Ella Baji ikut sama sebab nak bermain dengan aku. Aadam ni kecik lagilah Baji, mana tahu bermain. Aadam hanya tahu, minum, tidur dan membuang air saja. Isha Baji nak ikut tapi esok dia sekolah jadi tak boleh ikutlah.

Ibu Bapa Kandung


Lelaki yang tampan ini adalah bapa Aadam. Namanya Radan. Bapa juga berasal dari Indonesia.












Tuan Rahimuddin Md Harun adalah majikan bapaku. Bapaku boleh buat macam-macam kerja. Dia sangat berkebolehan. Aadam sangat kagum dengan bapa.


Semoga bapaku sihat selalu untuk menjaga ibu dan keluarga.

Ini Ibu Aadam. Cantikkan dia. Namanya Admirah. Berasal dari Kesugihan, Cilacap, Indonesia.













Ibu bekerja sebagai Pembantu Rumah Tuan Rahim. Ibu sangat rajin bekerja. Aku harap akan rajin seperti dia juga bila sudah besar nanti.

Terima kasih ibu kerana mengandungkanku lantaran melahirkanku ke dunia ini. Semoga ibu sentiasa sihat dan gembira selalu.

05 08 2010. Khamis 
Majlis Penuh Emosi
Hidup aku bermula dengan dugaan yang berat untuk aku terima. Impian untuk hidup bahagia di dunia ini rupanya memerlukan sejuta pengorbanan yang besar. 














Ibu bapaku perlu meneruskan tanggungjawab menjaga keluarga di kampung halaman dengan bekerja lagi.  Kesempitan hidup di sana perlu dibayar dengan pengorbanan perasaan yang besar. 
Bersama Ibubapa kandung, Ibubapa angkat serta
keluarga Tuan Rahim.
Ternyata aku tidak mampu membesar di bawah naungan mereka kerana membebankan kelancaran tugas mereka bersama Tuan Rahim. 

Aku telah ditakdirkan untuk bersama keluarga warga tempatan yang mengimpikan memiliki anak angkat. Dengan bantuan Tuan Rahim keluargaku telah diketemukan dengan keluarga angkatku untuk mencari keserasian bersama. 

Aku faham ibuku berat hati melepaskan aku malah bapaku juga punya hati yang cekal untuk melepaskan aku kepada Encik Mohd Fadzli dan Puan Azra Banu. Ibu tahu, bapa tahu, masa hadapanku lebih penting untuk mendapat penghidupan yang lebih baik lagi sempurna. Semoga aku akan menjadi insan berguna apabila dewasa nanti.

Pada 05/08/2010, seharian Ibu bapa angkatku membawa ibu bapaku menguruskan urusan pendaftaran sijil kelahiran di Jabatan Pendaftaran Taman Maluri. Urusan yang sepatutnya mudah dan cepat terpaksa ditunda hingga ke petang kerana JPN Putrajaya mengalami masalah teknikal. 

Sekitar pukul 4.15 petang tersebut barulah aku mempunyai nama. Ibu angkatku menganugerahkan aku nama yang sangat cantik dan penuh bermakna. Nama untuk manusia dan nabi pertama di dunia - Aadam digabungkan dengan nama penghulu segala malaikat, malaikat penjaga rezeki, Mika'il. Betapa besarnya nama tersebut untuk aku pikul impian mereka agar aku menjadi  insan berguna suatu hari kelak.


Kebetulan juga ibu kandungku sangat berkenan dengan nama tersebut. Semoga mereka memberkati aku sentiasa.

Untuk urusan pendaftaran anak angkat, akuan bersumpah perlu dibuat dan ditandatangani oleh kedua ibu bapa kandungku. Pesuruhjaya sumpah di Pandan Jaya menjadi saksi akujanji ibu bapaku melepaskan hak penjagaan kepada ibu bapa angkatku. 

Senja tersebut aku bercerai susu dengan ibuku. Tak dapat lagi untuk merasa manisnya susu ibu yang menjana tumbesaranku selama sembilan bulan sebelum ini. Upacara bergambar kenang-kenangan antara ibu bapa kandung dengan ibu bapa angkatku berlangsung penuh emosi. Kali terakhir aku didakap dicium ibu bapa sendiri. Tentunya itu menjadi saat kerinduan yang tak dapat aku kecapi untuk hari seterusnya dan kali pertama aku didukung oleh bapa angkatku, dirangkul rapi seolah-olah melepaskan kerinduan yang dipendam bertahun-tahun ….. kerinduan untuk memiliki cahaya mata.

Sebaik aku dibawa naik kereta dan kereta mula bergerak, ibu angkatku menitiskan airmata …. Airmata gembira kerana akhirnya sudah bergelar seorang ibu setelah menanti selama hampir 13 tahun, juga airmata terharu dan sedih kerana perpisahan aku dengan ibubapa kandungku.
Hari ke 2 Aadam di dunia ini. Kulit pun masih merah lagi.

Sesampai di rumah, barulah ibu angkatku mendukung aku dengan bantuan bapa angkatku. Oh! Baru aku tahu rupa-rupanya ibu angkatku adalah anak bongsu dalam keluarganya dan tiada pengalaman menjaga bayi sementara bapa angkatku adalah anak sulung dan memiliki 9 orang adik. Patutlah ibu angkatku agak kekok mendukung aku sementara bapa angkatku selamba saja.

Aku diperkenalkan dengan panggilan untuk bapa angkatku … Abba dan untuk ibu angkatku … Ammi. Ammi ialah keturunan Hindustan dan panggilan Abba dan Ammi bermaksud ayah dan ibu. Hmmm… peninglah kepala aku, banyaknya bahasa aku kena belajar ….


Malam itu aku tidur bersama-sama Abba dan Ammi. He! He! He! Aku adalah “orang ketiga” di antara mereka. Lazimnya kehadiran “orang ketiga” memecahbelahkan keluarga tetapi kehadiranku Insya Allah membawa bahagia buat Abba dan Ammi dan juga diriku. Amin.
Assalammualaikum....
04 08 2010 Rabu












Alhamdullillah. Ya Allah, terima kasih kerana menciptakanku dengan jasad. Menghidupkanku dengan nyawa. Menganugerahkanku agamaMu. Memberi kesempurnaan rupa paras, berjasad indah ini. Terima kasih ya Allah.

Sembilan bulan dalam rahim ibuku. Sungguh tenang, sungguh mendamaikan, sungguh selamat aku rasakan di dalam perut ibu. Indah rasanya berada di sini..

Terdetik untuk aku menjengah rupa paras ibu bapaku. Pengorbanan mereka besar ertinya buat diriku. Bagaimana rupa alam di luar sana?. Apakah takdir untuk aku seterusnya?

Hari: Rabu
Tarikh: 04/08/2010 (23 Sya’ban 1431)
Masa: 1.15 petang
Tempat: Klinik Wardah

Lahirlah aku ke dunia ini. Subhanallah. Maha suci Allah. Indahnya dunia di luar sini. Sungguh luas, penuh warna warni, beranika bunyi-bunyian, berbagai jenis ciptaan dari Allah. Hebatnya dunia ini...

Saat azan dan qamat dikumandangkan oleh bapaku ke cuping telingaku, indah dan mendamaikan kalimah itu. Insya Allah, aku akan jadi hambaMu yang soleh.

Aku dilahirkan berbangsa Indonesia. Ibu bapaku berhijrah ke Malaysia dari Jawa Tengah mencari sesuap nasi buat mengalas perut juga untuk membantu abangku, Budi dan kakak-kakakku, Melani dan Sri Hayati di Indonesia. Kesempitan hidup mereka yang berpanjangan di sana memaksa mereka bekerja di sini. Malah darah dagingku ini juga hasil kerja halal mereka bekerja dengan Tuan Rahim, usahawan berjaya yang sungguh baik hati.

Ibuku bekerja sebagai pembantu rumah Tuan Rahim, manakala bapaku bekerja di kilang yang Tuan Rahim usahakan. Sungguh murni kerja mereka. Aku tetap berbangga dengan mereka.






























No comments:

Post a Comment